Saturday, August 13, 2011

Adakah Anda Sakit Kepala Atau Migrain ?



Sakit kepala merupakan fenomena biasa yang selalu berlaku di kalangan penduduk dalam Malaysia. Namun begitu, adakah sakit kepala anda itu hanyalah penyakit biasa yang tidak membawa kepada penyakit kronik, ataupun sakit kepala yang membahayakan? Hakikatnya, penyakit kepala sebenarnya boleh mencetuskan migrain. Adakah anda tahu hakikat ini? Saya pun baru tahu selepas saya melakukan beberapa bacaan. Di sini saya ingin menjelaskan bahawa migrain ini merupakan sakit kepala yang berulang-ulang disebabkan oleh sesuatu sebab. Trigger factor (faktor penyebab) migrain berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor misalnya,

:::> faktor hormon, 
contohnya, semasa anda datang haid, hormon anda tidak stabil. Seterusnya anda yang biasa  mengamalkan pil perancang mudah mendapat penyakit ini.

:::> faktor persekitaran
faktor seterusnya ialah ialah persekitaran . Contohnya, jika anda duduk dalam persekitaran suhu yang terlalu panas atau sejuk, cahaya terlalu terang atau bunyi yang terlalu bising, kepala anda anda menjadi sakit secara automatik.Faktor stress seperti kurang tidur, tension, banyak memikir juga menyebabkan sakit kepala berlaku.

:::> faktor pemakanan
jika anda ingin tahu, jika kita makan makanan seperti makanan masam (jeruk, buahan sitrus), makanan berperisa/perasa/pengawet/pewarna tiruan (ajinomoto, maggi mee), makanan mempunyai xanthine (cokelat), makanan tenusu (keju, susu), minuman berkafein (kopi, nescafe, coca-cola), makanan yang unik untuk individu (pulut, mee kuning, durian, buah pala) juga boleh menyebabkan sakit kepala berlaku. Oleh itu, anda semua haruslah menjaga pemakanan anda supaya kesihatan anda terjamin.
Untuk mengelakkan migraine, faktor penyebab perlulah dikenalpasti dan segera dielakkan. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor untuk mengenalpasti punca sakit kepala selain dari di atas.


Merawat sakit kepala atau migrain dengan Bekam

Jika anda telah berjumpa doktor dan tidak mahu bergantung kepada ubat-ubatan kimia, apa kata saya syorkan kepada anda untuk menghilangkan penyakit ini dengan cara berbekam? Berdasarkan kefahaman saya, berbekam amatlah berkesan dalam merawat dan menghilangkan sakit kepala anda.Hal ini adalah kerana, ayah saya juga pernah belajar tentang bekam dan dia pandai melakukan rawatan bekam ini. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut lagi tentang bekam ini, anda bolehlah menghubungi saya. 

Friday, August 12, 2011

Kanser Servik

Kanser servik merupakan sejenis penyakit yang dihidapi oleh golongan wanita sahaja. Adakah anda tahu apakah itu sebenarnya kanser servik. Kanser servik ini sebenarnya adalah diantara barah kerap terjadi terhadap wanita yang menyerang organ reproduksi. Ia terjadi apabila sel yang normal pada serviks (pangkal rahim) bertukar menjadi sel barah. Bagi wanita, anda haruslah perlu ambil tahu megenai penyakit ini kerana penyakit ini berkaitan dengan diri anda sebagai seorang wanita. Adakah anda semua tahu bahawa penyakit ini merupakan pembunuh kedua terbanyak selepas barah payu dara?

Merupakan kanser kedua terbanyak dikalangan wanita selepas kanser payudara.Di Malaysia, senario yang sama berlaku dan terdapat peningkatan kes sejak kebelakangan ini. Dianggarkan lebih kurang 18 orang wanita dari setiap 100,000 penduduk mengidap kanser ini. Sungguh menakutkanlah penyakit barah ini. Adakah anda semua tahu penyebab berlakunya barah servik?.

Antara penyebab utama barah servik adalah Ia disebabkan oleh virus human papilloma yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalu dapat menangkis serangan virus ini dari menjangkiti wanita tetapi, bagi sebahagian kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel yang terdapat pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh dari kanser ini terjadi pada mereka yang berusia 35-55 tahun.


Tanda dan gejala

:::> Anda mungkin tidak mengalami sebarang tanda terutama pada peringkat awal. Tetapi , apabila menjadi semakin serius, anda mungkin akan mengalami beberapa simptom iaitu:
  • Pendarahan semasa  melakukan hubungan intim bersama
  • Pendarahan ditengah bulan ketika datang haid
  • Pendarahan  yang berterusan selepas menopos
  • Keluar lendir berdarah dan berbau busuk dari faraj anda
  • Sakit semasa anda melakukan hubungan seks 



Golongan Wanita yang berisiko untuk mendapat kanser serviks?

 Terdapat beberapa golongan wanita yang sangat berisiko untuk mendapat kanser serviks. Golongan yang pertama ialah golongan yang mempunyai pasangan berbilangan Misalnya perempuan melakukan hubungan seks dengan sesama jantina dan sebaliknya. Golongan kedua pula ialah, golongan remaja yang telah melakukan aktiviti seks semenjak umurnya belum mencecah usia 18 tahun lagi. Golongan ketiga pula ialah golongan yang mengalami jangkitan kuman seperti syphilis, gonorhoea, chalmydia atau HIV. Golongan keempat pula ialah golongan yang kurang daya tahan imun badan. Ini bermakna imuniti di dalam badannya kurang dan senang dijangkiti penyakit. Dan golongan yang terakhir pula ialah golongan wanita yang suka merokok. Oleh itu, kita sebagai wanita tidak digalakkan untuk merokok kerana merokok sangat membahayakan kesihatan tubuh badan kita dan membahayakan nyawa orang lain seterusnya mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit barah servik ini.

Bagaimanakah cara untuk untuk anda mencegahnya?

Anda tidak perlu bimbang kerana anda  boleh mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit kanser pangkal rahim ini dengan mencegah jangkitan kuman HPV. HPV merebak melalui hubungan seks, jadi pengunaan kondom amatlah digalakkan kerana ia boleh mengurangkan risiko HPV.
Selain dari itu, anda juga boleh mengurangkan jangkitan HPV dengan berhubungan seks dengan satu pasangan sahaja. tambahan lagi, anda haruslah elakkan melakukan hubungan seks ketika usia masa muda lagi. Lebih baik jika anda menghabiskan masa dengan kerja yang berfaedah kerana usia muda adalah sesuatu yang amat berharga bagi saya. Seterusnya, kurangkan ataupun berhenti merokok dan akhir sekali anda digalakkan untuk mendapatkan imunisasi terhadap jangkitan HPV dan dapatkan suntikan vaksin di mana-mana hospital yang berdekatan dengan rumah anda. :)


Apa yang doktor akan lakukan sekiranya anda mempunyai gejala di atas?

:::> Ujian Pap 

 Pertama sekali ,doktor akan mengambil sedikit tisu anda pada permukaan serviks dan menghantar ke makmal . Ujian ini akan mengesan sebarang ketidaknormalan pada cerviks seperti sel pra-barah. Anda dinasihatkan untuk mengambil ujian ini setiap tahun untuk mengesn kanser peringkat awal. Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa anda. 

:::> Ujian HPV 

Ujian HPV ini merupakan ujian yang boleh mengesan kuman HPV yang spesifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebabkan utama kanser pangkal rahim. 

:::> Colposcopy 

Colposcopy pula ialah ,doktor akan mengunakan mikroskop yang khas untuk memeriksa pangal rahim anda untuk sebarang ketidaknormalan. Sekiranya ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar kemakmal. Kadang-kadang biopsi kon akan dibuat sekiranya didapati sel barah sudah merebak lebih dalam. 

:::> Rawatan 

Akhir sekali, anda perlu mendapatkan rawatan.Rawatan bergantung kepada tahap bahaya kanser tersebut dan sejauh mana ia sudah merebak. Sekiranya diperingkat awal pembedahan buang rahim akan disarankan dan pembedahan yang lebih radikal akan dilakukan sekiranya kanser sudah merebak keorgan organ berdekatan. Rawatan sampingan lain termasuk radiasi dan kemoterapi.

 Vaksin terhadap HPV

Sekarang sudah terdapat vaksin yang boleh mencegah kebanyakkan dari strain HPV yang menjadi punca kepada kanser serviks. Gadis seawal usia 13 tahun adalah digalakan untuk mengambil vaksin ini. Ia boleh mencegah sehingga 70% dari jangkitan HPV dan walaupun ia lebih efektif sekiranya diberikan sebelum gadis menjadi aktif secara seksual, ia juga disarankan kepada semua wanita sehingga usia 46 tahun.

Dimanakah anda boleh mendapatkan suntikan vaksin ini?

Vaksin boleh didapati dimana mana klinik GP atau klinik pakar berdekatan

Sekian sahaja, diharap segala informasi yang saya sampaikan di atas tadi dapat memberi sedikit sebanyak kepada anda semua.

Thursday, August 11, 2011

Kanser Payu Dara

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia diucapkan kepada para pembaca semua.
Topik yang ingin saya kupas seterusnya berkenaan dengan wanita. Adakah anda sudah lihat tajuk di atas? KANSER PAYU DARA merupakan perkara yang sinonim dan tidak asing lagi bagi wanita pada hari ini. Hal ini adalah kerana, jumlah pesakit yang menghidapi penyakit ini di dalam negara kita sudah semakin meningkat.

Kanser payu dara merupakan satu penyakit yang sangat digeruni dan ditakuti oleh semua wanita. Oleh itu, saya ingin kupaskan beberapa punca dan tanda-tanda penyakit kanser payu dara ini. Sebelum itu, bagi semua wanita adakah anda pernah melakukan pemeriksaan payu dara di hospital??? Tepuk dada, tanya iman dan fikir-fikirlah kerana apabila anda telah dijangkiti kanser ini, anda tidak akan dapat berpatah balik. Oleh itu, bak kata pepatah arab, "mencegah lebih baik daripada merawat" .

Baiklah, sebelum itu. Bagi wanita ataupun remaja yang sedang membaca blog saya ini, saya ingin anda lakukan satu perkara iaitu periksalah payu dara anda sekarang juga! Mana tahu, ada ketulan-ketulan yang anda tidak sedari, jadi saya ingin mengingatkan anda. :) Ketulan pada payu dara memang kerap berlaku. Setiap wanita yang mempunyai ketulan dalam payu daranya tidak sepatutnya membiarkannya tanpa mendapat nasihat, pemeriksaan dan ujian daripada doktor. Langkah ini penting kerana ketulan itu mungkin barah, walaupun kebanyakan ketulan dalam payu dara bukan daripada jenis barah.

Saya ingin kongsikan pengalaman saya kepada anda semua. Saya juga pernah mempunyai ketulan di dalam payu dara. Tetapi, anda yang telah periksa dan mendapati ada ketulan kecil dalam payu dara anda, anda tidaklah perlu berasa bimbang kerana bukan semua ketulan yang ada dalam payu dara kita itu membahayakan. Ketulan yang tidak membahayakan itu di kenali sebagai  FIBROADENOMA .  Semasa saya mendapati ada ketulan dalam payu dara saya, saya segera pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Alhamdulillah, ketulan tersebut tidak membahayakan kerana itu adalah ketulan yang biasa bagi usia remaja. Besar kemungkinan ketulan tersebut akan hilang sendiri.

Seterusnya, saya ingin menceritakan sedikit tentang punca ataupun simptom barah payu dara ini berlaku. Saya yakin dan pasti bahawa anda semua tidak mahukan penyakit ini berlaku dalam diri anda. Oleh itu, mari kita sama-sama berusaha untuk mengelakkan diri kita daripada dijangkiti penyakit ini.
Antara punca-puncanya ialah :

1. Ketulan dalam payu dara. Tanda ini adalah yang paling biasa didapati di kalangan wanita berpenyakit barah payu dara. Ketulan itu tidak menimbulkan kesakitan dan biasanya disedari secara tidak sengaja seperti semasa anda mandi ataupun semasa pemeriksaan sendiri payu dara.

Kadang-kadang ketulan dalam payu dara anda itu disedari oleh orang lain seperti suami anda sendiri atau doktor yang memeriksa payu dara. Selalunyalah ketulan ada pada bahagian atas dan luar payu dara (upper outer quadrant). Barah juga berlaku pada bahagian tengah, atau atas dan dalam payu dara tetapi pada kadar yang rendah.

2. Terdapat ketulan kelenjar yang membesar di bahagian ketiak.

3. Terdapat cairan seperti darah atau nanah yang keluar daripada puting payu dara.

4. Terdapat perubahan pada kulit payu dara. Perubahan yang perlu diperhatikan ialah kulit menyerupai kulit limau oren (peau d'orange) yang berlubang kecil. Keadaan ini menandakan bahawa barah telah merebak dan berkemungkinan besar saluran limfa telah tersumbat olehnya. Perubahan bentuk payu dara juga boleh menandakan terdapat barah padanya.

 Jika terdapat perubahan pada payu dara anda seperti yang telah saya sebutkan di atas, anda semua dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya bagi membuktikan jenis ketulan yang ada dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya sebelum payu dara anda jadi seperti di bawah ini


Gerun kan???




Anda semua pasti takut kan jika payu dara anda jadi seperti gambar di atas. Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga kesihatan diri mulai dari sekarang supaya hidup kita sihat dan bahagia disamping suami tersayang. Seterusnya, adakah anda semua tahu golongan yang bagaimanakah berisiko dan mudah dijangkiti penyakit ini ??

::::>  Pertama sekali, golongan wanita lah yang mempunyai risiko 100 kali ganda lebih tinggi daripada lelaki. Risiko ini menjadi lebih tinggi pada era sebelum putus haid. Orang lelaki juga boleh mendapat penyakit barah payu dara kalau anda nak tahu :)

:::> Kedua, sejarah keluarga seseorang itu pun memberi risiko barah payu dara. Contohnya lah, jika terdapat saudara terdekat pernah menghidapi penyakit ini, risiko seseorang itu berganda dua tiga kali. Jadi, anda semua haruslah menyiasat tentang latar belakang keluarga anda.

:::> Sejarah barah seseorang wanita yang pernah menghidap barah payu dara, risiko untuknya berulang lagi meninggi empat kali ganda. Ada kajian yang menyatakan bahawa ketulan atau penyakit payu dara yang bukan daripada jenis barah juga boleh meninggikan risiko untuk barah payu dara.

:::> Sejarah haid dan pembiakan juga  mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah payu dara. Ini bermakna wanita itu didatangi haid yang pertama pada umur yang agak awal (9 tahun) dan mencapai alam putus haid pada umur yang agak lewat (55 tahun ke atas). Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.

:::> Pemakanan-pengambilan lemak secara berlebihan meninggikan risiko barah ini. Oleh itu anda yang bergelar wanita digalakkan untuk mengambil banyak sayur-sayuran dan mengurangkan kadar pengambilan lemak dalam makanan secara tidak lansung mengurangkan obesiti.

:::> Yang terakhir ialah Obesiti. Untuk pengetahuan anda semua, wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah ini.

Konklusinya, kepada semua wanita di luar sana. Ingatlah bahawa kesihatan diri anda semua amat penting. Jagalah pemakanan anda semua dan jangan makan ikut sedap tekak, jika tidak bahana hidup anda nanti. Saya hanyalah insan yang hina dan jahil di muka bumi ini, segala silap kata dan bicara ataupun tersinggung perasaan anda, harap dimaafkan. Segala yang baik itu datangnya dari tuhan, yang buruk itu datangnya dari saya sendiri. ASSALAMUALAIKUM penutup bicara saya ucapkan. :)

Wednesday, August 10, 2011

Obesiti dan Punca Penyebabnya


OBESITI atau yang biasa kita kenal sebagai kegemukan merupakan suatu masalah yang cukup merisaukan di kalangan remaja pada hari ini. Bagi  remaja perempuan, kegemukan menjadi suatu masalah yang cukup berat, kerana keinginan untuk memiliki tubuh ramping atau langsing dan cantik, merupakan idaman bagi mereka.

tubuh langsing yang diidamkan oleh semua orang

Perkara ini berlaku kerana semakin berbagai-bagai iklan di televisyen, surat khabar dan
media massa  selalu menonjolkan watak-watak perempuan langsing dan iklan pelbagai macam ramuan ubat-ubatan, makanan dan minuman untuk merampingkan tubuh.Akibatnya, ribuan ringgit wang dibelanjakan oleh para remaja perempuan untuk diet, ubat-ubatan, dan perawatan-perawatan bagi menurunkan berat badan.Bukan saja remaja perempuan,malah remaja lelaki juga takut menjadi gemuk.Mereka mengangap bahawa lelaki yang gemuk tidak akan diminati oleh perempuan. Ramai remaja lelaki inginkan tubuhnya  menjadi ideal seperti menjadi sedikit berotot dan keinginan mereka untuk itu menjadikan mereka rajin bersukan.
           
contoh ubat herba untuk melangsingkan badan
Tetapi bagi mereka yang gemuk, aktiviti sukan akan terasa sebagai suatu penyeksaan. Hal inilah yang selalu dimanfaatkan oleh para penjual produk-produk ubat-ubatan atau makanan penurun berat badan dan alat sukan ringan untuk melariskan barang mereka. Dengan melihat fenomena yang terjadi sekarang ini, kita boleh mengatakan bahawa obesiti
merupakan salah satu masalah besar yang selalu dihadapi remaja dan juga termasuk orang dewasa.

Berhadapan dengan masalah obesiti, seseorang remaja akan bertindak secara luar kawalan.mereka akan merasa sangat kecewa kerana walaupun mereka telah berusaha melakukan diet yang ketat dan mengambil ubat-ubatan dan ramuan sampingan,namun berat badan mereka tidak susut. Adakah anda semua tahu apa sebenarnya yang terjadi? Untuk menjawab persoalan tersebut,mari kita melihat faktor-faktor yang menjadi penyebab obesiti.

Dengan sedikit sebanyak pengetahuan saya tentang obesiti ini,saya akan menerangkan beberapa faktor yang menyebabkan obesiti. Menurut hasil kajian para saintis dan pembelajaran saya dalam subjek Biologi, antara  faktor-faktor yang menyebabkan obesiti ini adalah faktor genetik, disfungsi salah satu bahagian otak, pola makan yang berlebihan, kurang gerak sukan, emosi, dan faktor persekitaran.


:::::> GENETIK

Faktor pertama ialah genetik. Sebenarnya ,kegemukan boleh diturunkan dari generasi sebelumnya kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga. Itulah sebabnya kita selalu bertemu dengan ibu bapa yang gemuk yang memiliki anak-anak yang gemuk juga. Dalam hal ini,sudah jelas lagi bersuluh mengatakan faktor genetik merupakan faktor utama kegemukan.

faktor ini berlaku mungkin disebabkan ketika seorang ibu yang obesiti sedang hamil, unsur sel lemak yang berjumlah besar dan melebihi ukuran normal, secara automatik akan diturunkan kepada si bayi sewaktu dalam kandungan. Maka, tidak hairanlah bila bayi yang lahir pun memiliki unsur lemak tubuh yang relatif sama besar.
.

:::::> POLA MAKAN BERLEBIHAN

Jika anda ingin tahu,orang yang gemuk lebih responsif dibandingkan dengan orang yang berat badannya normal terhadap isyarat lapar luaran, seperti rasa dan bau makanan, atau ketika waktu makan. Orang yang gemuk hobinya suka makan dan cenderung terhadap makanan, apabila mereka rasa ingin makan,mereka akan makan walaupun sebenarnya perut tidak berasa lapar. Pola makan berlebihan inilah yang menyebabkan mereka sukar untuk keluar daripada kepompong kegemukan jika seseorang itu tidak memiliki kawalan diri dan motivasi yang kuat untuk mengurangi berat badan.


:::::> KURANG BERSUKAN

Faktor yang ketiga pula ialah, seseorang individu itu jarang-jarang bersukan ataupun tidak pernah langsung melakukan senaman ringan Kita seharusnya tidak boleh malas bersukan kerana aktiviti fizikal akan membantu mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Ini adalah kerana, semasa bersukan, kalori akan terbakar,jika makin banyak kita bersukan, maka semakin banyak kalori yang hilang.

Pada pengetahuan saya,apabila kalori kita terbakar,maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi sistem metabolisme kita. Kebiasaannya, orang yang duduk bekerja di pejabat akan mengalami penurunan metabolisme tubuhnya. Ini adalah kerana mereka kurang bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.Kekurangan aktiviti gerak ini akan menyebabkan suatu siklus yang hebat, penyakit obesiti ini membuatkan aktiviti sukan menjadi sangat sukar dan kurang dapat dinikmati dan kurangnya sukan secara tidak langsung.Jadi ingin saya tekankan di sini bahawa sukan sangat penting dalam penurunan berat kerana ianya bukan sahaja dapat membakar kalori,malah ia juga membantu mengatur berfungsinya metabolis normal.


(4) PENGARUH EMOSIONAL

Faktor yang keempat pula ialah,pengaruh emosi Ada satu pandangan popular yang mengatakan bahawa obesiti bermula daripada masalah emosional yang tidak dapat diatasi.Contohnya, orang gemuk yang dahagakan kasih kasih sayang, seperti kanak-kanak yang menganggap bahawa makanan adalah simbol kasih sayang ibu, atau kelebihan makan adalah sebagai subtitusi untuk pengganti kepuasan lain yang tidak tercapai dalam kehidupannya.

Walaupun penjelasan demikian sesuai pada beberapa kes, namun sebahagian orang yang berlebihan berat badan tidak terlalu terganggu secara psikologi dibandingkan dengan orang yang memiliki berat badan secara normal. Walaupun banyak pendapat yang mengatakan bahawa orang gemuk biasanya tidak bahagia, tetapi sebenarnya batin mereka yang sedih ini yang sebenarnya yang mengundang kepada masalah kegemukan.

Hal ini berlaku masyarakat sering berfikiran bahawa tubuh yang langsing dan kurus merupakan suatu kecantikan bagi mereka sehingga menyebabkan orang gemuk cenderung berasa malu dengan penampilannya dan sukar mengurus diri mereka terutama dalam hal yang berhubungan dengan perilaku makan. Orang gemuk selalu mengatakan bahawa mereka cenderung makan lebih banyak apabila mereka dalam keadaan tegang atau cemas, dan kebenarannya terbukti.

Orang gemuk makan lebih banyak dalam suatu keadaan yang sangat tertekan; orang dengan berat badan yang normal makan dalam situasi yang kurang tertekan.Bagi kumpulan orang dengan berat badan berlebihan dan kumpulan orang dengan berat badan yang berkurangan,apabila mereka disajikan dengan kerepek (makanan ringan), coklat dan makanan ringan yang lain,didapati bahawa orang gemuk lebih banyak menghabiskan kerepek setelah menyaksikan filem yang tegang atau suspens dibandingkan setelah menonton filem yang membosankan. Sedangkan pada orang dengan berat badan berkurangan, selera makan kerepek tetap sama setelah menonton filem yang tegang mahupun filem yang membosankan.Oleh itu, kita sebagai seorang manusia yang inginkan berat badan yang ideal,kita seharusnya mengawl emosi dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga pemakanan kita. Emosi haruslah dikawal agar berat badan tidak semakin meningkat dan seterusnya menjejaskan kesihatan diri kita. 


:::::> PERSEKITARAN

Faktor yang seterusnya ialah persekitaran indidvidu itu sendiri.Faktor lingkungan atau persekitaran ternyata juga mempengaruhi seseorang untuk menjadi gemuk. Jika seseorang dibesarkan dalam satu komuniti yang menganggap bahawa gemuk adalah simbol kemakmuran,kebahagiaan dan keindahan, maka orang tersebut akan cenderung untuk menjadi gemuk. Selagi pandangan tersebut tidak dipengaruhi oleh faktor luaran, maka orang yang obesiti tidak akan mengalami masalah-masalah psikologi berkaitan dengan kegemukan dan  mereka tidak akan kisah jika diri mereka gemuk.

Jadi, saya nasihatkan kepada semua remaja yang kebetulan memiliki berat badan berlebihan dan belum berjaya mengurangi berat badan, janganlah anda berasa kecewa dan rendah diri. Mungkin dengan mengetahui faktor-faktor penyebab kegemukan seperti tertulis di atas anda akan menemui penyebab mengapa berat badan anda tidak pernah susut.

Anda yang berbadan besar itu jangan berasa risau selagi tubuh anda tidak mengidap apa-apa penyakit maka tidak ada yang salahnya anda berbadan besar ataupun gemuk. Perkara lain yang juga tidak kalah penting adalah cubalah untuk bersukan secara teratur dan menjaga agar emosi anda tetap terkawal.

Individu yang terlalu gemuk akan menghadapi masalah kurang keyakinan diri kerana mereka menjadi bahan bualan. Dari aspek sosial, masyarakat memandang rendah terhadap mereka dan tidak ramai yang ingin bergaul dengan mereka. Kajian menunjukkan individu yang mengalami obesiti kurang mendapat peluang kenaikan pangkat dalam pekerjaan mereka kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat malas.

Jadi, sebelum saya menghabiskan coretan saya tentang masalah obesiti ataupun kegemukan ini, saya ingin menasihatkan kepada semua individu yang mempunyai masalah obesiti ini supaya tingkatkan keyakinan diri dan jangan berasa terlalu hina. Sebaliknya, anda haruslah tunjukkan kepada masyarakat bahawa anda boleh hidup seperti orang normal yang lain dan berjaya di dunia ini.