Thursday, August 11, 2011

Kanser Payu Dara

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia diucapkan kepada para pembaca semua.
Topik yang ingin saya kupas seterusnya berkenaan dengan wanita. Adakah anda sudah lihat tajuk di atas? KANSER PAYU DARA merupakan perkara yang sinonim dan tidak asing lagi bagi wanita pada hari ini. Hal ini adalah kerana, jumlah pesakit yang menghidapi penyakit ini di dalam negara kita sudah semakin meningkat.

Kanser payu dara merupakan satu penyakit yang sangat digeruni dan ditakuti oleh semua wanita. Oleh itu, saya ingin kupaskan beberapa punca dan tanda-tanda penyakit kanser payu dara ini. Sebelum itu, bagi semua wanita adakah anda pernah melakukan pemeriksaan payu dara di hospital??? Tepuk dada, tanya iman dan fikir-fikirlah kerana apabila anda telah dijangkiti kanser ini, anda tidak akan dapat berpatah balik. Oleh itu, bak kata pepatah arab, "mencegah lebih baik daripada merawat" .

Baiklah, sebelum itu. Bagi wanita ataupun remaja yang sedang membaca blog saya ini, saya ingin anda lakukan satu perkara iaitu periksalah payu dara anda sekarang juga! Mana tahu, ada ketulan-ketulan yang anda tidak sedari, jadi saya ingin mengingatkan anda. :) Ketulan pada payu dara memang kerap berlaku. Setiap wanita yang mempunyai ketulan dalam payu daranya tidak sepatutnya membiarkannya tanpa mendapat nasihat, pemeriksaan dan ujian daripada doktor. Langkah ini penting kerana ketulan itu mungkin barah, walaupun kebanyakan ketulan dalam payu dara bukan daripada jenis barah.

Saya ingin kongsikan pengalaman saya kepada anda semua. Saya juga pernah mempunyai ketulan di dalam payu dara. Tetapi, anda yang telah periksa dan mendapati ada ketulan kecil dalam payu dara anda, anda tidaklah perlu berasa bimbang kerana bukan semua ketulan yang ada dalam payu dara kita itu membahayakan. Ketulan yang tidak membahayakan itu di kenali sebagai  FIBROADENOMA .  Semasa saya mendapati ada ketulan dalam payu dara saya, saya segera pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Alhamdulillah, ketulan tersebut tidak membahayakan kerana itu adalah ketulan yang biasa bagi usia remaja. Besar kemungkinan ketulan tersebut akan hilang sendiri.

Seterusnya, saya ingin menceritakan sedikit tentang punca ataupun simptom barah payu dara ini berlaku. Saya yakin dan pasti bahawa anda semua tidak mahukan penyakit ini berlaku dalam diri anda. Oleh itu, mari kita sama-sama berusaha untuk mengelakkan diri kita daripada dijangkiti penyakit ini.
Antara punca-puncanya ialah :

1. Ketulan dalam payu dara. Tanda ini adalah yang paling biasa didapati di kalangan wanita berpenyakit barah payu dara. Ketulan itu tidak menimbulkan kesakitan dan biasanya disedari secara tidak sengaja seperti semasa anda mandi ataupun semasa pemeriksaan sendiri payu dara.

Kadang-kadang ketulan dalam payu dara anda itu disedari oleh orang lain seperti suami anda sendiri atau doktor yang memeriksa payu dara. Selalunyalah ketulan ada pada bahagian atas dan luar payu dara (upper outer quadrant). Barah juga berlaku pada bahagian tengah, atau atas dan dalam payu dara tetapi pada kadar yang rendah.

2. Terdapat ketulan kelenjar yang membesar di bahagian ketiak.

3. Terdapat cairan seperti darah atau nanah yang keluar daripada puting payu dara.

4. Terdapat perubahan pada kulit payu dara. Perubahan yang perlu diperhatikan ialah kulit menyerupai kulit limau oren (peau d'orange) yang berlubang kecil. Keadaan ini menandakan bahawa barah telah merebak dan berkemungkinan besar saluran limfa telah tersumbat olehnya. Perubahan bentuk payu dara juga boleh menandakan terdapat barah padanya.

 Jika terdapat perubahan pada payu dara anda seperti yang telah saya sebutkan di atas, anda semua dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya bagi membuktikan jenis ketulan yang ada dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya sebelum payu dara anda jadi seperti di bawah ini


Gerun kan???




Anda semua pasti takut kan jika payu dara anda jadi seperti gambar di atas. Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga kesihatan diri mulai dari sekarang supaya hidup kita sihat dan bahagia disamping suami tersayang. Seterusnya, adakah anda semua tahu golongan yang bagaimanakah berisiko dan mudah dijangkiti penyakit ini ??

::::>  Pertama sekali, golongan wanita lah yang mempunyai risiko 100 kali ganda lebih tinggi daripada lelaki. Risiko ini menjadi lebih tinggi pada era sebelum putus haid. Orang lelaki juga boleh mendapat penyakit barah payu dara kalau anda nak tahu :)

:::> Kedua, sejarah keluarga seseorang itu pun memberi risiko barah payu dara. Contohnya lah, jika terdapat saudara terdekat pernah menghidapi penyakit ini, risiko seseorang itu berganda dua tiga kali. Jadi, anda semua haruslah menyiasat tentang latar belakang keluarga anda.

:::> Sejarah barah seseorang wanita yang pernah menghidap barah payu dara, risiko untuknya berulang lagi meninggi empat kali ganda. Ada kajian yang menyatakan bahawa ketulan atau penyakit payu dara yang bukan daripada jenis barah juga boleh meninggikan risiko untuk barah payu dara.

:::> Sejarah haid dan pembiakan juga  mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah payu dara. Ini bermakna wanita itu didatangi haid yang pertama pada umur yang agak awal (9 tahun) dan mencapai alam putus haid pada umur yang agak lewat (55 tahun ke atas). Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.

:::> Pemakanan-pengambilan lemak secara berlebihan meninggikan risiko barah ini. Oleh itu anda yang bergelar wanita digalakkan untuk mengambil banyak sayur-sayuran dan mengurangkan kadar pengambilan lemak dalam makanan secara tidak lansung mengurangkan obesiti.

:::> Yang terakhir ialah Obesiti. Untuk pengetahuan anda semua, wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah ini.

Konklusinya, kepada semua wanita di luar sana. Ingatlah bahawa kesihatan diri anda semua amat penting. Jagalah pemakanan anda semua dan jangan makan ikut sedap tekak, jika tidak bahana hidup anda nanti. Saya hanyalah insan yang hina dan jahil di muka bumi ini, segala silap kata dan bicara ataupun tersinggung perasaan anda, harap dimaafkan. Segala yang baik itu datangnya dari tuhan, yang buruk itu datangnya dari saya sendiri. ASSALAMUALAIKUM penutup bicara saya ucapkan. :)

No comments:

Post a Comment